Exora REEV bolot dua anugerah di UK

Kereta elektrik jarak tambahan nasional (REEV), Proton Exora REEV berjaya dua
tahun berturut-turut memenangi anugerah pada Cabaran Kereta Masa Depan Brighton
ke London RAC (FCCBTL-RAC) semalam.
Lebih menarik, Exora REEV bukan hanya memenangi anugerah Kereta Pelbagai Guna
Cekap Tenaga terbaik, malah ia juga turut berkongsi anugerah Kenderaan Elektrik
Jarak Tambahan (E-REV) keseluruhan terbaik dengan jenama terkemuka pembuat
kereta global, Toyota.
Kejayaan kali kedua itu turut menjadi lebih manis selepas Jurutera Perisian
Bahagian Komponen dan Pentauliahan, Jabatan Teknologi Hijau Proton, Rozadatul
Intan Safrina Che Rus berada di dalam kenderaan yang sama tahun lepas untuk
memenangi anugerah berkenaan buat kali kedua.
Menurut Rozadatul Intan Safrina, beliau tidak menyangka dapat memenangi
anugerah tersebut selepas perlumbaan tamat semalam ekoran mengalami masalah
teknikal di peringkat terakhir perjalanan sebelum melintasi garisan penamat.
Beliau yang terkejut dengan kejayaan itu berkata, masalah itu turut
menyebabkan Exora REEV yang dipandu jurutera Frazer-Nash Research Limited
(Frazer-Nash), Pavol Biro berhenti secara tiba-tiba kira-kira beberapa kilometer
dari garisan penamat yang menyebabkan kerugian masa.
“Kereta berhenti secara tiba-tiba. Cubaan untuk menghidupkan kereta tidak
berjaya namun selepas 10 minit, ia berjaya dihidupkan untuk kami meneruskan
perjalanan ke garisan penamat.
“Ketika itu perasaan berbaur sedih dan hampa kerana yakin tidak dapat
mempertahankan kejayaan 2010 ekoran masalah tersebut,” katanya kepada media
Malaysia selepas majlis penyampaian anugerah FCCBTL-RAC di Bangunan Kelab
Automobil Diraja United Kingdom (RAC-UK), di sini semalam.
FCCBTL-RAC yang kini sudah berusia 115 tahun sebelum ini hanya menjadi medan
cabaran perjalanan bagi kereta vintaj sejauh 92 kilometer dari Brighton ke
London, namun diperluaskan bagi pembuat kereta global dan persendirian untuk
mempamerkan produk dan prototaip kereta elektrik dan jimat tenaga sejak tahun
lepas.
Pada edisi pertama 2010, Proton Exora REEV berjaya memenangi anugerah
Kenderaan Elektrik Jarak Tambahan (R-EV) keseluruhan terbaik pada cabaran yang
disertai oleh 63 pembuat kereta.
Selain Exora REEV, pada cabaran edisi 2011 yang disertai oleh 70 peserta itu,
Proton Holdings Bhd. (Proton) turut mempertaruhkan buat kali kedua kemampuan
kereta elektrik (EV), Proton Saga EV termasuk Proton Persona Elegance REEV.
Lebih menarik, keseluruhan komponen elektrik dan perisian Pesona Elegance
REEV dipasang sepenuhnya oleh jurutera tempatan Proton.
Sementara itu, Pengarah Urusan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed
Mohamed Tahir dalam satu kenyataan menyatakan rasa amat gembira dengan kejayaan
yang dicatatkan Exora REEV itu.
Kata beliau, selepas berjaya tahun lepas, pihaknya tidak mengambil mudah
kejayaan akan datang lagi dan berusaha lebih keras untuk meningkatkan kemampuan
jentera.
“Kejayaan merangkul dua anugerah ini merupakan kemampuan luar biasa bagi
Proton. Lebih mengejutkan, jentera kita berada sama taraf dengan jentera jenama
terkemuka dunia.
“Ini secara tidak langsung menunjukkan kemampuan dan standard Proton dalam
industri kini diiktiraf dunia permotoran antarabangsa,” katanya sambil
mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada jurutera tempatan yang berjaya
membangunkan Pesona REEV hasil kerjasama teknikal jangka panjang dengan
Frazer-Nash.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Lembaga Pengarah dan Pengarah Projek Hijau
Proton, Datuk Zainuddin Che Din berkata, pihaknya kini turut menunggu mengenai
keputusan cabaran bagi Proton Pesona REEV disebabkan terdapat masalah teknikal
di pihak penganjur.- UTUSAN

No comments: