ISLAMFOBIA..

Petikan daripada rencana Utusan Malaysia (9/10/2011)

Umat Islam makin diasak dengan Islamofobia

MELAYARI internet dengan kata carian "Islam", terjumpa hamba satu rencana yang menarik berjudul An Islamic Europe? Maksudnya Eropah suatu hari nanti akan dikuasai Islam? Tulisan Dexter B. Wakefield itu disiarkan sebagai rencana muka depan majalah Kristian Tomorrow's World edisi Mei/ Jun 2006 terbitan Living Church of God. Izinkan hamba terjemahkan sebahagiannya dan paparkan untuk renungan:

Beberapa tahun lalu, Islam adalah kuasa yang kuat di beberapa bahagian Eropah. Hari ini, Islam sekali lagi menjadikan dirinya disedari dalam bentuk yang dikhuatiri ramai orang Eropah. Adakah kita akan menyaksikan Eropah Islam - dan apakah maknanya dalam konteks 'khabar akhir zaman'?

Di bandar Granada di selatan Sepanyol, pada 10 Julai 2003, berlangsung satu peristiwa yang merupakan detik dramatik dalam sejarah Eropah. Bagaimanapun ia kurang mendapat perhatian umum, dan hingga sekarang hanya segelintir yang memahami natijahnya.

Selama lebih 700 tahun - dari abad kelapan hingga abad 15-orang Islam memerintah Sepanyol, dan Islam adalah kuasa yang berkembang di Semenanjung Iberia. Pada 732 Masehi, pasukan tentera Islam di bawah pimpinan Emir Abd al-Rahman hampir mara ke Paris sebelum dipatahkan berhampiran Tours, Perancis. Perkembangan Islam di Eropah sampai ke kemuncaknya pada abad kelapan.

Kemudian selama beberapa ratus tahun tentera bukan Islam berjaya mengecilkan wilayah pemerintahan Islam. Akhirnya pada 1492, tentera King Ferdinand dan Queen Isabella berjaya menakluki Granada, kubu terakhir Islam di Sepanyol. Dalam masa beberapa tahun sahaja saki-baki umat Islam Sepanyol telah memeluk agama lain dan Islam hilang kuasanya.

Lima ratus tahun kemudian, orang Islam pendatang dan penganut baru telah merayakan pembukaan semula Masjid Besar Granada yang baru. Ramai orang Eropah terfikir "apakah penaklukan semula akan berlaku lagi?" Kita perlu menyedari sejarah dan betapa Bible telah membayangkan apa yang akan berlaku pada akhir zaman.

Penaklukan semula Islam sedang berlaku, tapi kali ini secara aman. Berjuta-juta orang Turki, Arab, Algeria dan Muslim dari lain-lain negara telah berhijrah ke Eropah mencari kerja dan kehidupan yang lebih baik. Selalunya mereka datang sebagai pekerja jemputan dan akhirnya menjadi pemastautin. Kemudian bilangan mereka bertambah ke satu tahap yang memberi kesan kepada negara-negara tuan rumah dari segi budaya dan politik. Tanpa diserap ke dalam masyarakat tempatan, mereka menguji kesabaran dan toleransi Eropah - dan ketegangan sosial sedang meningkat.

Pada 1970, menurut World Christian Encyclopedia, jumlah penganut Katholik di seluruh dunia adalah 20 peratus lebih ramai daripada orang Islam. Menjelang 2000, kedudukan terbalik, terdapat 1.20 billion Muslim berbanding 1.06 bilion Katholik. Dan Islam terus berkembang melalui kelahiran dan penganut baru pada kadar yang jauh lebih besar.

Perubahan paling ketara berlaku di Perancis. Di kalangan generasi baru Perancis, peratus pertambahan orang Islam adalah lebih tinggi. Seorang pengulas media Cal Thomas meramalkan, "Muslim akan menjadi majoriti di Perancis dalam masa 25 tahun lagi. Maka budaya Perancis, barangkali sekularisme dan kebebasan juga tidak akan dapat bertahan."

Orang Eropah yang dulunya menganggap terorisme Islam adalah 'masalah Amerika' sahaja, kini mendapati ia juga masalah mereka. Sepanyol dan Britain telah mengalami kes pengeboman. Perancis dilanda rusuhan orang muda Islam. Sebuah akhbar Denmark menjadi sasaran kemarahan seluruh dunia Islam kerana menyiarkan kartun (menghina Nabi Muhammad).

Walaupun ramai juga orang Islam yang menyeru kesederhanaan, kontroversi kartun itu telah meniupkan kebencian terhadap Islam. Seorang wartawan terkemuka Itali, Oriana Fallaci pernah menulis: "Eropah bukan lagi Eropah. Ia adalah wilayah Islam, sama seperti Sepanyol dan Portugal. Ia (Eropah) turut didiami beribu-ribu pengganas Islam yang kerajaan tidak kenal dan tidak tahu untuk mengawal mereka."

Lantaran itu pada 2004, apabila Kesatuan Eropah disertai 10 negara anggota baru, Vatican (pejabat Pope) memberikan peringatan. Kata Pope John Paul II: "Kesatuan Eropah tidak boleh bertahan hanya di atas landasan ekonomi dan politik. Hanya Eropah yang tidak mengenepikan akar umbi agama Kristiannya dan memperkukuhnya semula, boleh menghadapi cabaran alaf ketiga. Bagaimanapun, bertentangan dengan hasrat Vatican, Eropah terus menuju ke arah sekularisme.

Kesimpulan

Berikutnya rencana Tomorrow's World itu membuat kesimpulan dengan pertanyaan - apakah akhirnya akan berlaku jika ketegangan berterusan antara Eropah dan Islam?

Lalu dianjurkan supaya kandungan Bible dijadikan panduan. Diperingatkan bahawa Nabi Isa akan kembali ke dunia selepas terjadi satu peperangan yang diramalkan oleh Nabi Danial dalam Bible. Danial dikatakan menyebut tentang kebangkitan sebuah kuasa besar dari Timur Tengah yang akan mencabar kuasa Eropah pada akhir zaman. Di katakan peperangan besar akan berlaku dan kemudian Nabi Isa akan kembali ke bumi.

Orang Islam juga mempercayai bahawa Nabi Isa akan kembali ke dunia pada akhir zaman. Tetapi kembalinya untuk memperakui bahawa ajaran Nabi Muhammad S.A.W adalah benar dan Islam adalah benar.

Disebabkan rencana itu disiarkan pada tahun 2006, kita layak bertanya apakah kebimbangan yang disuarakan sudah kendur atau barangkali meningkat? Kemungkinan ia memperkukuhkan lagi teori kontroversi Samuel P Hutington melalui bukunya Clash of Civilizations bahawa konflik dunia pasca perang dingin dunia komunis dan blok Barat akan berpunca daripada perbezaan budaya dan agama.

Betapa media Barat pada September lalu telah 'merayakan' ulang tahun ke-10 perisitiwa 9/11 yang kononnya angkara kumpulan Al-Qaeda. Kita di Malaysia turut menyaksikan paparan berulang dari segenap sudut peristiwa pengeboman bangunan World Trade Center di New York pada 11 September 2001 itu melalui saluran Discovery, History dan National Geographic di TV Astro. Di Amerika Syarikat lebih hebat lagi putaran medianya.

Wajar ditanya, adakah ia sekadar kebetulan atau memang disengajakan bagi meningkatkan rasa takut terhadap Islam yang dipanggil Islamophobia? Pada hal ramai di kalangan umat Islam, termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad, menyoal sama ada sekumpulan pengganas Arab mampu membolosi dan melancarkan serangan yang begitu terancang dan sofistikated terhadap Amerika Syarikat yang mempunyai jaringan pengintipan dan keselamatan termoden dan terbesar di dunia?

NOTA KAKI: Sudah diuar-uarkan bahawa satu perhimpunan umat Islam yang dinamakan Himpunan Sejuta Umat akan diadakan di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober ini, jam 2 hingga 5.30 petang. Tujuannya untuk menzahirkan sikap terhadap siri percubaan memurtadkan umat Islam serta mencemarkan kemuliaan agama Islam di Malaysia.

Menurut risalah yang sedang diedarkan, perhimpunan itu diharapkan menjadi suatu bukti yang nyata bahawa umat Islam boleh dan akan bersatu tanpa mengira latar belakang untuk mempertahankan akidah mereka daripada diganggu-gugat oleh sesiapa pun.

Antara pertubuhan dan kumpulan NGO yang disenaraikan menyertai perhimpunan itu ialah Pemuda Pas dan Pemuda UMNO, di samping Persatuan Bekas Perajurit dan Persatuan Bekas Anggota Polis

No comments: