WARANTY POWER WINDOW KERETA PROTON SEPANJANG HAYAT

Kira-kira 500,000 kereta Proton dijangka mendapat manfaat daripada waranti sepanjang hayat tingkap kuasa yang baharu "Janji Tingkap Kuasa" oleh pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata skim waranti yang baharu itu terpakai bagi kesemua model Proton yang berdaftar mulai dari 1 September dan model Proton semasa yang masih berada di bawah waranti pengeluar yang bermula pada tarikh sama.
Katanya, waranti itu boleh digunakan hanya bagi model kereta yang dijual di dalam pasaran domestik, sama ada milik persendirian atau syarikat besar yang meiliki banyak kereta.
"Ia meliputi empat komponen utama yang berkaitan mekanisme tingkap kuasa kenderaan itu, iaitu pengatur tingkap kuasa, motor tingkap kuasa, suis dan "run channel."

"Sebaik menerima tuntutan dari pelanggan yang layak dan bergantung kepada pematuhan terma dan syarat waranti Sepanjang Hayat Tingkap Kuasa, waranti itu akan dilaksanakan oleh Proton secara percuma, yang termasuk kesemua kos buruh dan alat ganti komponen tingkap kuasa," katanya di sini, hari ini.

Tekal dengan standard automotif global, Syed Zainal Abidin berkata waranti itu terhad kepada 250,000km atau 10 tahun dari tarikh pendaftaran kenderaan, yang bergantung kepada yang mana berlaku dulu.

Sambil Proton telah melakukan usaha signifikan untuk menambah baik kualitinya seperti yang ditunjukkan di dalam kenderaan jenerasi baharunya, katanya sesetengah persepsi negatif jenama itu terus wujud sehingga hari ini.
"Langkah membetulkan persepsi itu walau pun mencabar adalah satu tugas yang perlu. Waranti ini adalah salah satu daripada inisiatif yang sedang dilaksanakan bagi mengekang persepsi itu.

"Pesanan kami mudah sahaja, jika anda membeli kereta Proton hari ini, sila ketahui bahawa tingkap kuasa boleh digunakan dan jika tidak, sila tukarnya secara percuma," katanya. - BERNAMA









ABRAJ AL-BAIT - MENARA JAM MEKAH


Seharusnya Malaysia boleh berbangga melihat struktur menara jam yang tersergam indah menghadap Masjidil Haram di sini, Menara Hotel Jam Diraja Mekah atau dikenali sebagai Abraj Al-Bait, kerana ia sebenarnya mempunyai ‘sentuhan anak Malaysia.’

Wan Nazri Wan Aria, 31, merupakan jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch, yang bertanggungjawab menampilkan reka bentuk dan pembinaan menara jam gergasi itu.

Katanya, menara itu memerlu kan lightweight steel structure untuk menyokong jam gergasi itu, dan di sini kejituan teknologi Jerman dengan kerjasama tenaga pakar dari syarikat Premier Composite Technology dari Dubai, diperlukan untuk menyempurnakan tanggungja wab itu.

Uniknya, 14 tenaga pakar dari Premier Composite Technology itu juga terdiri daripada kumpulan anak muda dari Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi yang memukau perhatian jutaan jemaah dari serata dunia yang datang ke sini untuk mengerjakan haji dan umrah.

Dengan ketinggian 601 meter, ia merupakan menara jam tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara-menara jam lain yang terkenal di seluruh dunia seperti Menara jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara jam The Big Ben di London, dan Menara jam Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat.

“Ia tiga kali lebih besar daripada Menara Big Ben di London,” kata pemuda kelahiran Melaka, yang menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2002 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Stuttgart, Jerman.

Nazri bersama beberapa jurutera Premier Composite Technology ditemui oleh kumpulan media Tabung Haji sedang menikmati teh tarik di Restoran Felda D”saji di Safwa Tower berhampiran Masjidil Haram di sini.

Katanya, beliau amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada tenaga pakar yang melakar sejarah di Mekah, apabila dibabitkan dalam kerja-kerja membina mercu tanda terbaru yang dapat membantu jemaah mengenal pasti kedudukan Masjidil Haram dari jauh lagi, di tengah kota di tanah suci itu.

Jam gergasi yang dihias replika bulan sabit itu dikatakan boleh di lihat dari jarak sehingga 17 kilometer pada waktu malam dan 12 kilometer pada waktu siang, manakala cahaya daripada dua juta lampu LED yang menghiasinya yang berkerlipan setiap kali azan berkumandang pula boleh dilihat dari jarak sehingga 28 kilometer pada waktu malam.

Selain itu 90 juta kaca mozek keemasan digunakan untuk menghiasi keempat-empat permukaan jam itu.

Nazri berkata, menara jam yang dilaporkan bernilai US$3 bilion itu dijangka siap sepenuhnya pada bulan Februari tahun depan sebelum diserahkan kepada pemaju dan kontraktornya Kumpulan Binladin pada bulan Mei, dan beliau bersama kumpulan pakar dari Premier Composite Technology berada di sini bagi memantau dan menyelia kerja-kerja akhir pembinaan menara jam itu.

Sementara itu menceritakan pengalaman kerja di sebuah syarikat Jerman, Nazri berkata beliau mengambil masa yang lama sebelum kepakarannya mendapat perhatian, pengiktirafan dan diberi peluang menerajui projek itu.

Rakannya, jurutera dari Premier Composite Technology, Armazizul Arifin pula berkata bahan komposit merupakan satu bidang baru, dan tidak banyak syarikat di dunia mempunyai kepakaran serta teknologi berkaitan bahan itu, dan ia membuatkan kebanyakan pakar dalam pemasangan bahan itu biasanya saling mengenali antara satu sama lain.

Beliau berkata, bekerja dalam satu kumpulan tenaga pakar dari negara sama merupakan satu kelebihan nyata, dan menurutnya beliau bersama kumpulan rakan-rakannya itu turut terlibat dalam beberapa projek besar membabitkan pemasangan struktur binaan logam yang kukuh tetapi ringan itu. – BERNAMA

MYKAD BARU MULAI JANUARI 2012

Mulai Januari Kad Pengenalan diri rakyat Malaysia akan diperbaharui sekali lagi. Antara yang menarik tentang MYKAD baru ialah :
  • Mulai Januari tahun depan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan MyKad baru yang dipertingkatkan ciri-ciri keselamatannya serta tahap kualitinya
  • MyKad baru dapat menangani isu pemalsuan MyKad serta masalah berkaitan kualiti dan ketahanannya terutama berkenaan kualiti cip yang sering dibangkitkan
  • MyKad dengan struktur baru lebih berkualiti dan menepati ciri-ciri keselamatan, sesuai dengan peredaran waktu, keadaan dan cabaran pada masa depan
  • MyKad baru diperbuat daripada bahan polycarbonate yang lebih tahan serta mengaplikasikan teknologi turisan laser pada permukaan kad