Pelajar terpilih ke MRSM diumum 1 Februari

5,900 layak dapat tempat daripada 23,400 permohonan

KUALA LUMPUR: Senarai kira-kira 5,900 pelajar Tingkatan Satu yang memperoleh keputusan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan berjaya mendapat tempat melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan diketahui 1 Februari ini.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Muhammad, berkata keputusan untuk memasuki 39 MRSM seluruh negara itu boleh diperoleh secara online menerusi laman web Mara pada tarikh berkenaan.


"Keseluruhannya seramai 23,400 permohonan diterima, tetapi hanya yang layak dan memenuhi syarat akan tersenarai seperti memperoleh keputusan 5A, selain pelajar luar bandar, keluarga berpendapatan rendah serta aktif dalam kokurikulum.

"Semua pelajar yang berjaya perlu mendaftar ke MRSM pada 17 Februari ini," katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Selain Mara, Kementerian Pelajaran juga menawarkan 6,600 tempat ke sekolah berasrama penuh kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang UPSR.

Ibrahim berkata, pihaknya sudah pada peringkat akhir menyaring calon yang mengemukakan permohonan untuk ditawarkan tempat ke MRSM awal bulan depan.

Bagi lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang memohon memasuki Tingkatan Empat ke MRSM pula, beliau berkata, sebanyak 3,400 tempat disediakan di maktab berkenaan di seluruh negara.

"Sebanyak 15,000 permohonan diterima dengan pertimbangan utama akan diberikan kepada pemohon yang memperoleh keputusan minimum 6A termasuk A untuk Sains dan Matematik," katanya.

Sementara itu, Ibrahim, 55, yang baru dilantik ke jawatan berkenaan mulai 1 Januari lalu meletakkan sandaran menerusi program 'Groom Big' untuk melahirkan usahawan Bumiputera bertaraf jutawan.

Beliau yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan, berkata program yang menyediakan pelbagai insentif khusus untuk usahawan tempatan itu bagaimanapun tidak akan mengetepikan tanggungjawab Mara terhadap perkembangan dan pembangunan bidang pendidikan.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu, menganggap kepercayaan yang diberikan kepadanya mengisi jawatan penting itu sebagai tanggungjawab untuk memastikan matlamat meningkatkan prestasi Mara tercapai dengan kerjasama dan sokongan semua pihak.

No comments: