Pelajar terpilih ke MRSM diumum 1 Februari

5,900 layak dapat tempat daripada 23,400 permohonan

KUALA LUMPUR: Senarai kira-kira 5,900 pelajar Tingkatan Satu yang memperoleh keputusan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan berjaya mendapat tempat melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan diketahui 1 Februari ini.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Muhammad, berkata keputusan untuk memasuki 39 MRSM seluruh negara itu boleh diperoleh secara online menerusi laman web Mara pada tarikh berkenaan.


"Keseluruhannya seramai 23,400 permohonan diterima, tetapi hanya yang layak dan memenuhi syarat akan tersenarai seperti memperoleh keputusan 5A, selain pelajar luar bandar, keluarga berpendapatan rendah serta aktif dalam kokurikulum.

"Semua pelajar yang berjaya perlu mendaftar ke MRSM pada 17 Februari ini," katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Selain Mara, Kementerian Pelajaran juga menawarkan 6,600 tempat ke sekolah berasrama penuh kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang UPSR.

Ibrahim berkata, pihaknya sudah pada peringkat akhir menyaring calon yang mengemukakan permohonan untuk ditawarkan tempat ke MRSM awal bulan depan.

Bagi lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang memohon memasuki Tingkatan Empat ke MRSM pula, beliau berkata, sebanyak 3,400 tempat disediakan di maktab berkenaan di seluruh negara.

"Sebanyak 15,000 permohonan diterima dengan pertimbangan utama akan diberikan kepada pemohon yang memperoleh keputusan minimum 6A termasuk A untuk Sains dan Matematik," katanya.

Sementara itu, Ibrahim, 55, yang baru dilantik ke jawatan berkenaan mulai 1 Januari lalu meletakkan sandaran menerusi program 'Groom Big' untuk melahirkan usahawan Bumiputera bertaraf jutawan.

Beliau yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan, berkata program yang menyediakan pelbagai insentif khusus untuk usahawan tempatan itu bagaimanapun tidak akan mengetepikan tanggungjawab Mara terhadap perkembangan dan pembangunan bidang pendidikan.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu, menganggap kepercayaan yang diberikan kepadanya mengisi jawatan penting itu sebagai tanggungjawab untuk memastikan matlamat meningkatkan prestasi Mara tercapai dengan kerjasama dan sokongan semua pihak.

Program ijazah sarjanamuda pendidikan dihenti

utusan malaysia-16 Januari 2010

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Pengambilan mahasiswa bagi program ijazah sarjana muda pendidikan pengkhususan sekolah rendah oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah dihentikan sejak 2007 dengan pengambilan terakhir ialah pada Jun 2006.


Tindakan itu berikutan keputusan Kabinet yang mahu IPTA tidak lagi menganjurkan program berkenaan sebaliknya hanya menawarkan ijazah pendidikan untuk sekolah menengah.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Profesor Datuk Radin Umar Radin Sohadi berkata, kumpulan terakhir 256 mahasiswa program itu bakal menamatkan pengajian mereka pada Jun dan Ogos tahun ini.

"Selepas tempoh itu, IPTA tidak lagi mengeluarkan graduan ijazah sarjana muda pendidikan pengkhususan sekolah rendah.

"Jadi, kenyataan bahawa IPTA tidak sepatutnya menawarkan program ijazah berkenaan kini tidak lagi menjadi isu kerana program itu sudah dihentikan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sidang akhbar itu diadakan sebagai reaksi kepada gesaan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi iaitu IPTA tidak sepatutnya menawarkan program tersebut kerana lepasan IPTA terbabit perlu mengajar di sekolah menengah.

Mohd. Puad berkata, penyediaan program itu di universiti-universiti adalah antara punca utama lepasan ijazah sarjana muda berkenaan berdepan kesukaran untuk ditempatkan di sekolah-sekolah.

Ini kerana, menurut Mohd. Puad, penempatan ke sekolah-sekolah rendah dikhaskan kepada lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) kendalian Kementerian Pelajaran.

Radin Umar berkata, pada masa ini 256 penuntut mengikuti pengajian program itu iaitu 97 orang di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), 57 penuntut di Universiti Malaya (UM) dan 95 penuntut di Universiti Sains Malaysia (USM)).

Beliau menafikan terdapat lebihan penuntut untuk program itu sebaliknya berkata, pengambilan dilakukan berdasarkan unjuran yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran.

Jelasnya, program itu mula ditawarkan pada 2002 ketika Kementerian Pengajian Tinggi masih belum ditubuhkan.

Katanya, pada Julai 2006, Kabinet memutuskan program itu dihentikan dan mengarahkan IPTA hanya menumpukan program ijazah pendidikan untuk sekolah menengah.

HIMPUNAN KATA-KATA NASIHAT

  1. Jangan berdukacita dengan apa yang tidak diperolehi tetapi teruskan bersyukur dengan apa yang telah dianugerah dan diberikan (nikmat)
  2. Harta yang paling untung SABAR, teman yang paling akrab AMAL, pengawal yang paling waspada DIAM, bahasa yang palimh indah SENYUM
  3. Bermula niat dengan berfikir, datangnya fikir melalui renungan, Datangnya renungan dari muhasabah diribermula muhasabah diri dengan syarah yang didengaratau dibaca
  4. Jaga niat dalam setiap perbuatan, Niat boleh berubah kerana suasana dan nafsu yangmenggila. Jaga amal, jaga fikir dan sering-seringlah bersyukur
  5. Diberi mulut untuk berkata-kata danmenguatkan senyuman agar menyenangkan hati orang di sekeliling dan yang berurusan dengan kita
  6. Diberi hidung untuk menghidu wangi-wangian dan mengelakkan kepada bau busuk pada zahirnya dan menghidu akan kemungkaran pada hakikatnya
  7. Diberi lidah agar perbanyakkan berzikir dan bertasbih bagi memuji kebesaran ilahi bukan untuk berdusta